Saturday, 28 November 2015

Buku Digital Reading with Al untuk Sekolah Tahfiz dan Projek Iqra'

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para ibu bapa.

Apa khabar. Kami ada berita menggembirakan yang ingin kami kongsi bersama semua. 

Semalam, 27 November, kami telah melancarkan Buku Digital kami yang berjudul Reading with Al. Majlis pelancaran tersebut berlangsung di Shah Alam Convention Centre (SACC) untuk acara Malaysian Islamic Children Fair (MICF). 

Majlis pelancaran kami turut dihadiri Tuan Ir Meor Shamshir bin Meor Zulkifli Auni dan Cik Puan Sharifah Sharina binti Syed Aswad. 

Tuan Ir Meor, yang memulakan kerjayanya sebagai seorang jurutera, merupakan pengerusi Persatuan Kebajikan Tahfiz Kelantan. Beliau sekarang menguruskan 7 buah sekolah tahfiz yang dibuka kepada anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah. Persatuan ini juga banyak membantu sekolah-sekolah tahfiz ini untuk mendapatkan dana. Tuan Ir Meor juga merupakan pengasas Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan. Beliau banyak menganjurkan aktiviti-aktiviti untuk asnaf di Kelantan. Sehingga hari ini, terdapat 854 asnaf yang berdaftar di kelab beliau. 

Cik Puan Sharifah Sharina merupakan naib pengerusi Persatuan Kebajikan Projek Iqra' Semelaysia. Beliau, yang juga pada asalnya seorang jurutera, menubuhkan persatuan ini bersama 3 orang rakan-rakannya dengan tujuan untuk memberi kelas tusyen percuma dan bantuan kelas pemulihan untuk anak yatim dan anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah. Persatuan ini, yang lebih dikenali dengan nama Projek Iqra', telah berjaya mendapat bantuan dana daripada pembiayaan orang ramai (crowdfunding). Kelas tusyen dan kelas pemulihan dikendalikan oleh 50 orang sukarelawan. 

Kedua-dua Tuan Ir Meor dan Cik Puan Sharifah Sharina sedar akan kepentingan Bahasa Inggeris dan sama-sama memegang objektif yang sama dengan kami; mendedahkan anak-anak kepada Bahasa Inggeris dari usia yang muda. 

Dengan sukacita, kami maklumkan bahawa Buku Digital Reading with Al akan dimasukkan ke dalam pembelajaran di sekolah tahfiz di bawah jagaan Tuan Ir Meor dan Projek Iqra' di bawah jagaan Cik Puan Sharifah Sharina.

Semoga anak-anak ini mendapat manfaat sepenuhnya melalui buku digital ini.

Wasalam dan terima kasih.
Pasukan JustSpeak

No comments:

Post a Comment