Friday, 15 January 2016

Jalanlah, Larilah, Asalkan Sampai

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para ibu bapa.

Negara kita merupakan salah satu daripada negara yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Dalam aktiviti harian kita, kita lebih selesa dan merasa senang menggunakan bahasa ibunda kita. Lebih ramah rasanya menggunakan bahasa kita sendiri.

Walau bagaimanapun, kepentingan Bahasa Inggeris ternyata menjadi semakin penting terutamanya untuk anak-anak kita dalam mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian. Ada juga anak-anak kita yang berminat untuk memulakan perniagaan sendiri. Dan dengan adanya kemahiran untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris, perniagaan mereka mempunyai potensi untuk berkembang ke peringkat global. 

Ramai antara kita ibu bapa yang telah mula sedar dengan kepentingan Bahasa Inggeris untuk masa depan anak kita. Tetapi, pernahkah anda terfikir, "Anak dah besar, dah terlambat untuk dia mula fasih dalam Bahasa Inggeris." atau "Ish, dah hantar banyak kelas Bahasa Inggeris, tapi tak fasih jugak Bahasa Inggeris dia."

Jangan risau. Jangan khuatir para ibu bapa. Di sini saya kongsikan kisah Agatha Machado Alves yang merupakan seorang pengurus di sebuah syarikat antarabangsa di Brazil. Seperti yang kita tahu, di negara Brazil, Bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua kepada mereka. Agatha dibesarkan bercakap dengan menggunakan bahasa ibundanya. Jadi, apabila beliau diterima bekerja, Bahasa Inggerisnya lemah. Walaubagaimanapun, beliau mula sedar akan kepentingan untuk belajar dan fasih Bahasa Inggeris setelah mula bekerja.

Kata beliau, "Dunia ini besar. Sangat besar sebenarnya. Dan dunia ini mempunyai pelbagai budaya dan pelbagai cara hidup yang berlainan. Mustahil untuk kita faham semuanya tanpa memahami dan bercakap dalam Bahasa Inggeris. Apabila kita bercakap satu bahasa yang sama untuk memahami budaya-budaya lain, terdapat banyak peluang yang akan terbuka untuk kita berjaya."
("The world is big, very big and we have a lot of cultures, different ways to live. It is impossible to understand without speaking English. When you can speak the same language to understand their necessities and behaviours, you can make good business.")

Jadi beliau mula untuk menambahbaikkan diri beliau dengan mempelajari Bahasa Inggeris. Tidaklah beliau terus fasih dalam tempoh masa yang singkat. Memang mengambil masa. Tetapi, bak kata pepatah; biar lambat asalkan selamat. Kan?

Tambah Agatha, "7 tahun yang lepas, saya tidak bercakap Bahasa Inggeris. Selepas 5 tahun, saya dah boleh bercakap Bahasa Inggeris dengan bagus." 
("Seven years ago, I didn't speak English. Five years later, I'm speaking English well.")

Jadi untuk ibu bapa yang mahukan anak-anak anda belajar dan fasih berbahasa Inggeris, mulakan dari sekarang, tidak kira umur anak kita. Tiada istilah 'terlalu lambat'. Yang paling penting adalah sokongan daripada kita sebagai ibu bapa supaya anak kita terus bersemangat dan bermotivasi untuk belajar fasih bercakap dalam Bahasa Inggeris demi masa depan yang cerah.

Jumpa lagi di perkongsian seterusnya.

Terima kasih.

Iman Fairuza Rozhan dibesarkan dengan pendedahan yang banyak kepada Bahasa Inggeris oleh ibu dan bapanya di rumah, Di bangku sekolah, beliau seringkali diejek dan disisihkan kerana suka berinteraksi dalam Bahasa Inggeris. Tetapi beliau tidak pernah patah semangat.
Beliau mempunyai pengalaman selama 6 tahun di dalam dunia perbankan dan rekrutmen. Dalam tempoh 6 tahun tersebut, beliau telah melihat ramai graduan menganggur kerana tidak menguasai Bahasa Inggeris. Ada juga pegawai eksekutif yang tidak mendapat kenaikan pangkat kerana lemah dalam Bahasa Inggeris. Oleh kerana ingin membantu graduan-graduan yang juga merupakan masa depan negara kita, beliau menyertai pasukan JustSpeak pada tahun 2013. Sekarang, beliau merupakan seorang jurulatih yang telah melatih beribu pelajar untuk mara dan yakin berbahasa Inggeris untuk berjaya dalam hidup mereka.

No comments:

Post a Comment