Thursday, 28 January 2016

Jurang generasi

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para Ibu Bapa. Apa khabar? Semoga semuanya sihat.

Pernah tak dengar tentang 'generation gap' atau jurang generasi antara Greatest Generation, Baby Boomers, Gen X dan Gen Y?

Rumusan generasi:
Greatest Generation: Lahir sebelum tahun 1945.
Baby boomers: Lahir dalam lingkungan tahun 1945 - 1960
Gen X: Lahir dalam lingkungan tahun 1961 - 1980
Gen Y: Lahir dalam lingkungan tahun 1981 - 1995

Terdapat banyak artikel tentang betapa bezanya pandangan dan cara hidup terutamanya antara Gen Y berbanding dengan Baby Boomers. Pada masa yang sama, terdapat juga beberapa rintihan tentang perwatakan dan permintaan daripada Gen Y.

Jom kita cuba fahamkan cara pemikiran Gen Y. 

1) Cita-cita yang tinggi/luar biasa

Generasi ini mahu merealisasikan impian mereka sendiri. Dalam memilih kerjaya atau pekerjaan, faktor utama yang mereka pertimbangkan adalah sama ada kerjaya atau pekerjaan tersebut serasi dengan impian mereka. Antara soalan yang mereka bertanya kepada diri mereka: Adakah kerjaya atau pekerjaan ini akan memberi aku kepuasan?

Beza kan dengan Baby boomers? Baby boomers lebih mementingkan kerjaya yang memberikan mereka kestabilan kewangan dan perkembangan kerjaya.

2) Keyakinan diri yang tinggi

Generasi ini sangat yakin dengan diri mereka dan kebolehan mereka untuk berjaya dalam apa sekalipun kerjaya yang mereka pilih. Dan oleh kerana keyakinan mereka yang tinggi, mereka percaya mereka akan berjaya dalam masa yang singkat. Mereka suka untuk orang lain sedar dengan kebolehan mereka dan mereka suka diberi ganjaran seperti kenaikan pangkat atau kenaikan gaji dengan cepat. Ini merupakan salah satu sebab kenapa generasi ini sering mencari-cari peluang kerjaya yang baru. Kerjaya yang akan dapat memberi mereka lebih kepuasan dengan ganjaran yang lebih.

Jelas perbezaan dengan Baby boomers di sini. Baby boomers lebih didorong untuk bekerja keras kerana mereka tahu ada ganjaran yang menanti mereka, walaupun ganjaran tersebut mengambil masa. Ini salah satu faktor kenapa mereka boleh kekal dan setia bekerja dengan satu organisasi.

3) Pendedahan kepada media sosial

Media sosial telah banyak merubah kehidupan sosial kita terutamanya bagi generasi muda. Media sosial telah membuka peluang untuk generasi ini berkongsi apa sahaja yang mereka mahu dengan rakan-rakan, kenalan mahupun seluruh dunia. Ini sekaligus membuka peluang untuk mereka tahu apa yang sedang berlaku dengan rakan sebaya mereka. Ada kalanya, perkara yang dikongsi di media sosial itu sesuatu yang dibuat-buat atau dilebih-lebihkan. Dan ada sesetengah perkongsian ini menjadi ikutan anak-anak muda yang lain. Ternyata, media sosial ada kelebihannya dan ada kekurangannya sehinggakan perwatakan dan emosi anak-anak kita boleh terpengaruh. Ini merupakan salah satu faktor yang membuatkan anak-anak kita daripada generasi ini mahu memilih kerjaya yang memberi kepuasan hati. Supaya mereka boleh merasa kegembiraan, seperti mana yang mereka lihat di media sosial.

Sekiranya kita melihat Baby boomers, mereka kurang terdedah kepada perkembangan orang-orang di sekeliling mereka. Jadi, mereka lebih fokus kepada apa yang mereka lakukan dan secara perlahan-lahan maju dan meningkat. 'Slow and steady' kata orang putih.

Sekian perkongsian saya kali ini. Mudah-mudahan perkongsian ini membantu kita lebih memahami anak-anak kita dalam membantu mereka dengan kerjaya dan kejayaan mereka.

Terima kasih

Iman Fairuza Rozhan dibesarkan dengan pendedahan yang banyak kepada Bahasa Inggeris oleh ibu dan bapanya di rumah, Di bangku sekolah, beliau seringkali diejek dan disisihkan kerana suka berinteraksi dalam Bahasa Inggeris. Tetapi beliau tidak pernah patah semangat.
Beliau mempunyai pengalaman selama 6 tahun di dalam dunia perbankan dan rekrutmen. Dalam tempoh 6 tahun tersebut, beliau telah melihat ramai graduan menganggur kerana tidak menguasai Bahasa Inggeris. Ada juga pegawai eksekutif yang tidak mendapat kenaikan pangkat kerana lemah dalam Bahasa Inggeris. Oleh kerana ingin membantu graduan-graduan yang juga merupakan masa depan negara kita, beliau menyertai pasukan JustSpeak pada tahun 2013. Sekarang, beliau merupakan seorang jurulatih yang telah melatih beribu pelajar untuk mara dan yakin berbahasa Inggeris untuk berjaya dalam hidup mereka.


No comments:

Post a Comment