Assalamualaikum dan selamat sejahtera para ibu bapa. Berjumpa lagi kita kali ini untuk satu lagi perkongsian.
Kali ini, ingin saya kongsikan informasi dan kelebihannya apabila anak kita menguasai 2 bahasa, atau lebih dikenali sebagai seorang yang bilingual.
Ada kajian yang menunjukkan bahawa sel-sel otak antara seseorang yang menguasai 1 bahasa (monolingual) dan seseorang yang menguasai 2 bahasa (bilingual) berfungsi dengan cara yang berbeza di mana seseorang yang bilingual mempunyai otak yang lebih aktif dan sihat.
Jadi apa kelebihannya apabila anak kita dibesarkan menjadi seorang yang bilingual ni?
1) Penguasaan bahasa secara menyeluruh
Sebagai seorang kanak-kanak, anak kita boleh belajar lebih daripada 1 bahasa dengan mudah kerana sel-sel otak mereka sedang membentuk dan berkembang dengan sangat aktif. Kedua-dua belah otak kiri dan kanan mereka menerima dan menyerap banyak maklumat dan perkataan-perkataan baru. Ini membolehkan mereka menguasai semua aspek apabila mempelajari sesuatu bahasa iaitu fasih bercakap, suka membaca, bagus menulis dan peka mendengar.
2) Menguatkan otak
Kebolehan untuk menguasai 2 bahasa telah terbukti untuk menguatkan bahagian otak yang mengawal kebolehan seseorang untuk menyelesaikan masalah (problem solving), membuat lebih daripada 1 benda dalam satu masa (multitasking) dan fokus apabila mengendalikan sesuatu tugas. 3 ciri-ciri ini sangat dicari oleh para majikan dalam dunia pekerjaan hari ini.
3) Melambatkan penyakit tua
Mempelajari lebih daripada satu bahasa menjadikan otak anak-anak kita kuat, aktif dan bergeliga. Ini sekaligus telah terbukti, melalui pelbagai kajian, untuk melambatkan penyakit tua seperti Alzheimer's Disease, penyakit lupa ingatan.
Jom, kita bantu dan galakkan anak-anak kita untuk menguasai lebih daripada satu bahasa mulai hari ini. Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang akan dapat membantu anak kita berjaya dan bersaing di peringkat global. Sekiranya dapat menguasai kedua-dua bahasa ini dari umur yang muda, mana tahu ada bahasa ketiga yang dapat mereka kuasai untuk meluaskan lagi ilmu pengetahuan mereka.
Ianya bermula dari rumah.
Terima kasih.
Iman Fairuza Rozhan dibesarkan
dengan pendedahan yang banyak kepada Bahasa Inggeris oleh ibu dan bapanya di
rumah, Di bangku sekolah, beliau seringkali diejek dan disisihkan kerana suka
berinteraksi dalam Bahasa Inggeris. Tetapi beliau tidak pernah patah semangat.
Beliau mempunyai pengalaman
selama 6 tahun di dalam dunia perbankan dan rekrutmen. Dalam tempoh 6 tahun
tersebut, beliau telah melihat ramai graduan menganggur kerana tidak menguasai
Bahasa Inggeris. Ada juga pegawai eksekutif yang tidak mendapat kenaikan
pangkat kerana lemah dalam Bahasa Inggeris. Oleh kerana ingin membantu
graduan-graduan yang juga merupakan masa depan negara kita, beliau menyertai
pasukan JustSpeak pada tahun 2013. Sekarang, beliau merupakan seorang jurulatih
yang telah melatih beribu pelajar untuk mara dan yakin berbahasa Inggeris untuk
berjaya dalam hidup mereka.

No comments:
Post a Comment