Monday, 4 January 2016

Terbuka Mata!

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para Ibu Bapa.

Nama diberi, Iman Fairuza binti Rozhan. Saya merupakan salah seorang jurulatih dan 'coach' di JustSpeak dan saya mempunyai pengalaman selama 6 tahun di dunia korporat sebelum menjadi seorang jurulatih.

Alhamdulillah, kita berjumpa lagi. Pertama sekali, terima kasih kepada semua ibu bapa yang membaca dan berkongsi perkongsian saya dalam blog bertajuk 'Bersamamu, anakku'. Semoga membantu. Ingin saya berkongsi lagi dengan para ibu bapa sekalian. Kali ini, perkongsian tentang pengalaman saya sendiri semasa bekerja di dunia korporat. 

Selepas saya bergraduat pada tahun 2007, saya memulakan kerjaya saya di sebuah bank yang merupakan salah satu daripada lima bank utama (Top 5) di negara kita. Saya diberi tugas sebagai 'Customer Service Agent', di mana kerja saya setiap hari adalah memberi khidmat nasihat dan bantuan kepada pelanggan bank tentang aktiviti perbankan mereka. Sebagai salah satu daripada Top 5 bank, sememangnya profil pelanggan mereka sangat besar. Ada pelanggan yang bercakap dalam Bahasa Melayu. Ada pelanggan yang bercakap dalam Bahasa Inggeris. Dan ada juga pelanggan yang merupakan warga asing (expatriate). Saya melihat bagaimana beberapa rakan-rakan saya yang kurang fasih dalam berbahasa Inggeris menghadapi masalah untuk berinteraksi dengan pelanggan yang bercakap dalam Bahasa Inggeris. Ada kalanya rakan-rakan saya kurang faham dengan masalah atau permintaan pelanggan yang bercakap dalam Bahasa Inggeris, maka mereka tidak dapat memberi jalan penyelesaian yang tepat. Ada beberapa antara mereka yang faham masalah dan permintaan pelanggan, tetapi kerana kurang fasih berbahasa Inggeris, masih gagal untuk memberi khidmat nasihat secara tepat. Ada beberapa kes di mana terdapat salah faham, yang mengakibatkan timbulnya aduan daripada pelanggan. Pekerjaan itu nampak mudah: Memberi khidmat nasihat kepada pelanggan. Tetapi, akibat kurang fasih berbahasa Inggeris, lain pula jadinya. Saya banyak membantu rakan-rakan saya untuk memperbaiki Bahasa Inggeris mereka. Salah satu daripada caranya adalah dengan berbual dengan mereka dalam Bahasa Inggeris. Di sini, saya temui minat saya: membantu dan mengajar orang!

Maka saya pun mula mencari peluang pekerjaan dalam bidang melatih (training). Cuma masa ini, saya belum kenalpasti bidang latihan yang ingin saya ceburi. Dalam mencari peluang pekerjaan yang baru, saya terjumpa dengan sebuah agensi pekerjaan. Mereka mempunyai kerja kosong di bawah unit latihan mereka, namun, kerana saya belum cukup pengalaman bekerja, mereka menawarkan pekerjaan sebagai seorang 'consultant' terlebih dahulu. Dapatkan pengalaman, kemudian berpindah masuk ke unit latihan. 

Saya terima cabaran tersebut!

Di sini, mata saya terbuka seluas-luasnya. Kata orang utara, terbeliak mata!
Projek pertama yang diberikan kepada saya adalah untuk mendapatkan pekerjaan bagi 1,000 orang graduan IPTA yang memegang Ijazah Sarjana Muda (Degree) dan bergraduat dengan CGPA 3.30 ke atas. Sebelum menghantar mereka ke sesi temuduga, mereka diberi latihan kemahiran interpersonal (soft skills) selama 5 hari. Dalam masa mereka menjalani sesi latihan, saya menghubungi pihak majikan untuk menjadualkan sesi temuduga mereka. Para graduan ini dijadualkan untuk menghadiri temuduga untuk jawatan yang sepadan dengan ijazah mereka. 

Majikan pertama merupakan sebuah bank terkemuka di Malaysia. Bank tersebut ingin mengambil kerja 10 orang graduan untuk program 'Management Trainee' dengan gaji pokok RM 3,000.00 sebulan. Saya mencari dan menghantar 50 para graduan untuk menghadiri temuduga dengan bank tersebut. Di akhir sesi yang berlangsung selama 3 minggu, terkejut saya apabila mendapat laporan terakhir daripada majikan. Mereka mengambil kerja 2 orang daripada 50 orang graduan yang menghadiri temuduga tersebut.

Majikan kedua merupakan sebuah syarikat penerbangan. Syarikat ini ingin mengambil kerja 5 orang graduan, juga untuk program 'Management Trainee' dengan gaji pokok RM 2,500.00 sebulan. Saya mencari dan menghantar 10 para graduan sesi temuduga mereka. Sekali lagi saya dikejutkan dengan laporan bahawa mereka hanya mengambil kerja 3 orang daripada 10 orang graduan yang menghadiri temuduga mereka.

Majikan ketiga merupakan sebuah syarikat 'oil and gas' yang bertaraf antarabangsa. Mereka ingin mengambil kerja 10 orang graduan untuk program 'Management Trainee' dengan gaji pokok RM 2,800.00 sebulan. Sesi temuduga mereka sedikit berbeza. Ianya terbahagi kepada dua. Sesi pertama adalah temuduga berkumpulan dan hanya yang terpilih sahaja yang akan dapat mara ke sesi kedua iaitu temuduga bersama panel temuduga syarikat tersebut. Saya menghantar 20 orang graduan untuk menghadiri sesi temuduga yang pertama. Terduduk saya apabila menerima laporan daripada majikan. Tiada seorang pun yang disenarai pendekkan untuk ke sesi kedua. Dan sememangnya, tiada satu pun di antara mereka yang diambil bekerja oleh syarikat ini.

Saya membuat panggilan kepada semua majikan-majikan ini untuk mendapatkan penjelasan, kenapa mereka tidak mengambil kerja graduan-graduan yang menghadiri sesi temuduga mereka. Saya telah menghantar graduan-graduan yang terbaik, daripada universiti-universiti terbaik di tanah air. 

Jawapan mereka semuanya sama: 
Iman, calon yang kamu hantar memang mempunyai resume yang sangat mengagumkan. Tetapi, mereka tidak dapat menjawab soalan temuduga dalam Bahasa Inggeris. Nak bercerita tentang diri sendiri juga tidak boleh. Ada sesetengan yang meminta untuk menjawab dalam Bahasa Melayu. 
(Iman, your candidates are perfect on paper. But they cannot answer our interview questions in English. They cannot even talk about themselves in English. Some of them even requested to answer in Malay even though the questions were asked in English.)

Sedihnya! Bakat mereka tersisih semata-mata kerana tidak fasih dan tidak yakin untuk bercakap dalam bahasa Inggeris.

Saya terpanggil untuk mula membantu anak-anak muda kita untuk yakin dan fasih berbahasa Inggeris, demi masa depan mereka. Sekaligus, saya menjumpai bidang yang ingin saya ceburi sebagai seorang jurulatih. Saya sekali lagi mengorak langkah untuk mencari pekerjaan baru. Kali ini, berbekalkan kesedaran dan pengalaman yang mencukupi, saya diterima bekerja sebagai seorang jurulatih program Bahasa Inggeris, JustSpeak yang membantu pelajar membina keyakinan untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris. 

Sejak tahun 2013, saya telah berpeluang melatih dan membantu ribuan pelajar untuk membina keyakinan untuk bercakap dan menggunakan Bahasa Inggeris di dalam harian mereka. 

Alhamdulillah, ada antara mereka yang di masa peperiksaan PMR, mendapat C untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris, berjaya mendapat A semasa peperiksaan SPM.
Alhamdulillah, ada antara mereka yang berjaya mendapat kerja selepas menghadiri program JustSpeak.
Alhamdulillah, ada yang berjaya di temuduga biasiswa untuk belajar ke luar negara.
Alhamdulillah, ada yang mula bercakap dan menggunakan Bahasa Inggeris di rumah bersama ahli keluarga mereka.

Alhamdulillah.

Peluang pekerjaan dan peluang untuk berjaya begitu banyak di luar sana. Dengan adanya kebolehan untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris, hanya langit yang menjadi had anak-anak kita.

Kepada para ibu bapa, jom kita lengkapi anak-anak kita dengan kebolehan untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan yakin. Banyak yang boleh mereka capai tak kira bidang yang ingin mereka ceburi. Ramai majikan yang akan merebut anak kita yang berkebolehan untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris. Terbuka luas peluang untuk mereka mengembara ke luar negara untuk menimba ilmu dan pengalaman, dengan adanya kebolehan dan keyakinan untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris.

Tak perlu kita tunggu untuk pihak sekolah untuk menerapkan penguasaan Bahasa Inggeris. Ianya bermula di rumah. It starts at home.

Semoga kita berjumpa lagi.

Terima kasih
Iman daripada Pasukan JustSpeak

No comments:

Post a Comment