Wednesday, 24 February 2016

Sayang seribu kali sayang

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para ibu bapa. Semoga semuanya sihat. Pejam celik, pejam celik, dan minggu terakhir bulan Februari. Cepat betul masa berlalu.

Ingin saya berkongsi satu cerita tentang seorang pelajar perubatan. Bukan kenalan saya sendiri. Tetapi diceritakan oleh seorang yang rapat dengan saya. Pelajar perubatan ini merupakan kenalan kepada rakan saya ini.

Pelajar ini telah mengambil Asasi Sains di universiti terkemuka di tanah air kita. Beliau merupakan seorang pelajar berpotensi tinggi yang bijak dan rajin. Tidak mengejutkan apabila beliau menamatkan pengajiannya  dan bergraduat daripada Asasi Sains dengan CGPA 4.00. Top of her class kata orang putih. 

Semasa pengajian Asasi Sains beliau, sesi pembelajaran dan komunikasi di sekitar universiti secara majoriti adalah dalam Bahasa Inggeris. Setelah tamat pengajian peringkat Asasi Sains, tiba masa untuk beliau memilih universiti yang beliau inginkan untuk melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Muda. Sebagai seorang pelajar cemerlang, semua universiti bersedia untuk menerimanya. 

Rata-rata, semua kenalan dan rakan-rakannya mengandaikan bahawa beliau akan memohon untuk melanjutkan pelajarannya ke universiti nombor satu di tanah air. Sebaliknya, beliau memilih untuk melanjutkan pelajarannya ke universiti lain. 

Apabila ditanya mengapa, beliau berkata bahawa beliau tidak yakin dan tidak bersedia untuk melanjutkan pelajaran ke universiti yang menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya.

Sayang seribu kali sayang. Satu peluang dilepaskan semata-mata kerana kurang keyakinan dalam sesuatu bahasa. 

Tidak dapat dinafikan bahawa Bahasa Inggeris sangat perlu zaman sekarang tidak kira bidang pengajian atau kerjaya yang dipilih oleh anak-anak kita. Banyak peluang yang terbentang luas di luar sana. Nak rebut atau tidak peluang itu, di tangan anak-anak kita.

Sebagai ibu bapa, jom kita perkasakan anak-anak kita dengan kemahiran yang mereka perlukan untuk mencapai cita-cita mereka. Sokongan kita dari rumah akan mendukung anak-anak kita untuk membesar menjadi seorang yang berkeyakinan dan berjaya.

Ianya bermula dari rumah. It starts at home.


Iman Fairuza Rozhan dibesarkan dengan pendedahan yang banyak kepada Bahasa Inggeris oleh ibu dan bapanya di rumah, Di bangku sekolah, beliau seringkali diejek dan disisihkan kerana suka berinteraksi dalam Bahasa Inggeris. Tetapi beliau tidak pernah patah semangat.
Beliau mempunyai pengalaman selama 6 tahun di dalam dunia perbankan dan rekrutmen. Dalam tempoh 6 tahun tersebut, beliau telah melihat ramai graduan menganggur kerana tidak menguasai Bahasa Inggeris. Ada juga pegawai eksekutif yang tidak mendapat kenaikan pangkat kerana lemah dalam Bahasa Inggeris. Oleh kerana ingin membantu graduan-graduan yang juga merupakan masa depan negara kita, beliau menyertai pasukan JustSpeak pada tahun 2013. Sekarang, beliau merupakan seorang jurulatih yang telah melatih beribu pelajar untuk mara dan yakin berbahasa Inggeris untuk berjaya dalam hidup mereka.

No comments:

Post a Comment