Thursday, 11 February 2016

Anakku si Penghibur Hati

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para ibu bapa. 

Dalam blog sebelum ini, saya berkongsi kesan meneroka kepada pembelajaran anak-anak kita.

Kali ini, jom kita tengok kesan pembelajaran bukan lisan (non-verbal learning) kepada pembelajaran anak kita.

Biasanya, apabila anak-anak kita belajar, mereka cuma mendengar. Sama ada mendengar penjelasan dan maklumat dan informasi daripada guru di sekolah ataupun daripada kita sebagai ibu bapa di rumah. Komunikasinya cuma satu hala. 

Sedar tak: Apabila komunikasi satu hala berlaku, anak kita cepat khayal dan hilang fokus?

Jadi apa yang boleh kita lakukan untuk merubah corak pembelajaran ini?

'Non-verbal Learning'

Ada pelbagai jenis pembelajaran bukan lisan. Antaranya adalah menggunakan pergerakan tangan (hand gesture) dan pergerakan badan (body movement).

Ada satu kajian yang dijalankan oleh Sian Beilock, seorang profesor dalam bidang psikologi dan rakan sekerjanya ke atas sekumpulan pelajar yang belajar mata pelajaran fizik. Para pelajar diberikan satu topik untuk dipelajari dan mereka pecahkan pelajar-pelajar ini kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama ditugaskan untuk menjalankan eksperimen manakala kumpulan kedua bertindak sebagai pemerhati. Seminggu selepas itu, mereka diuji tentang topik yang diberikan dan rata-rata, kumpulan pelajar yang menjalankan eksperimen mendapat markah yang lebih baik daripada kumpulan pelajar yang memerhati.

Konsep yang sama boleh dipraktikkan dalam membantu anak-anak kita belajar Bahasa Inggeris. Selain daripada meletakkan kepentingan kepada penggunaan tatabahasa yang betul, masukkan unsur pembelajaran bukan lisan. 

Galakkan anak-anak kita untuk melakonkan semula apa yang mereka belajar. Dengan lakonan semula, anak kita akan perlukan menggunakan pergerakan tangan, badan dan juga ekspresi muka. 

Contoh #1: Mempelajari kedudukan atau posisi seperti opposite, across, beside dan under. Galakkan mereka untuk bangun dan tunjuk di mana kedudukan perkataan-perkataan tersebut.

Contoh #2: Mempelajari ekspresi seperti happy, panic, scared, sad, excited dan bored. Galakkan mereka untuk buat mimik-mimik muka tersebut.

Mereka akan lebih ingat apa yang mereka pelajari. Selain itu, mereka tidak merasa bosan apabila belajar Bahasa Inggeris. 

Kurikulum di sekolah telah direka bentuk untuk fokus kepada tatabahasa dan penggunaan Bahasa Inggeris yang betul. Di rumah, kita sebagai ibu bapa boleh menggunakan pendekatan non verbal learning ini dalam membantu anak-anak kita menguasai Bahasa Inggeris secara menyeluruh.

It starts at home. Ianya bermula dari rumah.

Iman Fairuza Rozhan dibesarkan dengan pendedahan yang banyak kepada Bahasa Inggeris oleh ibu dan bapanya di rumah, Di bangku sekolah, beliau seringkali diejek dan disisihkan kerana suka berinteraksi dalam Bahasa Inggeris. Tetapi beliau tidak pernah patah semangat.
Beliau mempunyai pengalaman selama 6 tahun di dalam dunia perbankan dan rekrutmen. Dalam tempoh 6 tahun tersebut, beliau telah melihat ramai graduan menganggur kerana tidak menguasai Bahasa Inggeris. Ada juga pegawai eksekutif yang tidak mendapat kenaikan pangkat kerana lemah dalam Bahasa Inggeris. Oleh kerana ingin membantu graduan-graduan yang juga merupakan masa depan negara kita, beliau menyertai pasukan JustSpeak pada tahun 2013. Sekarang, beliau merupakan seorang jurulatih yang telah melatih beribu pelajar untuk mara dan yakin berbahasa Inggeris untuk berjaya dalam hidup mereka.

No comments:

Post a Comment