Friday, 27 November 2015

Bersamamu, anakku

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para Ibu Bapa.

Benarkan saya untuk memperkenalkan diri saya. Nama diberi, Iman Fairuza binti Rozhan. Saya merupakan salah seorang jurulatih dan 'coach' di JustSpeak yang dilahirkan anak pertama kepada pasangan pensyarah yang mengajar di sebuah universiti tempatan. 

Alhamdulillah, kedua-dua ibu bapa saya bergraduat dengan PhD dari luar negara. Jadi, pendedahan mereka kepada Bahasa Inggeris amat luas. Jadi, di rumah, dari umur yang sangat awal lagi, ibu bapa saya memberi penekanan yang sangat tinggi kepada penguasaan bahasa. Mereka memastikan saya dan adik-adik saya menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. 

Di rumah, ibu bapa saya memenuhi bilik saya dengan bahan bacaan. Ada buku cerita, majalah, ensiklopedia dan macam-macam lagi. Ada kalanya, mereka akan menyuruh saya membaca kepada mereka. Ada kalanya mereka menyuruh saya bercerita semula tentang buku yang saya baca. Di hari minggu, saya akan membaca sekurang-kurangnya satu petikan dari surat khabar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Tetapi, bukan baca seorang diri di dalam bilik. Baca dengan nada kuat untuk ibu atau ayah saya dengar, supaya mereka boleh betulkan sebutan saya. Sekiranya ada perkataan yang saya tidak tahu, ibu atau ayah akan menunjukkan cara mencari maksud di dalam kamus. 

Oleh kerana kedua-dua ibu bapa saya bekerja, masa yang diluangkan dengan saya agak terhad. Di awal 90-an juga, pegawai kerajaan masih bekerja separuh hari pada hari Sabtu. Jadi, untuk mengisi waktu-waktu mereka tidak ada untuk membantu saya dengan bacaan, mereka juga banyak membeli buku yang beserta dengan kaset. Dengan cara ini, saya berpeluang untuk mendengar bacaan dan sebutannya berulang-ulang kali. 

Membaca sahaja tidak mencukupi. Ibu bapa saya juga menekankan kepentingan menggunakan bahasa-bahasa ini. Jadi, di rumah, perbualan kami bi-lingual. Ibu dan ayah saya akan memperbetulkan ayat-ayat saya dan penggunaan perkataan dalam ayat saya apabila kami berbual. Saya juga banyak berpeluang mendengar mereka memberi arahan dan menjawab soalan saya dalam kedua-dua Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Jadi, saya ikut. Dan fahaman saya kepada penggunaan kedua-dua bahasa ini makin hari makin bertambah baik.

Alhamdulillah, ibu dan bapa saya banyak memberi sokongan dan bantuan dalam saya menguasai dua bahasa yang sangat penting ini. 

Apabila umur saya mencapai 7 tahun, maka zaman persekolahan saya bermula. Dan di sini juga, bermula cabaran-cabaran saya. Saya telah menjadi selesa untuk menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Dan di sekolah juga, ada kalanya, secara otomatik, saya menjawab atau bertanya satu soalan dalam Bahasa Inggeris. Ada rakan-rakan saya yang mencemuh saya dan bertanya "Awak ni tak reti cakap Bahasa Melayu ke? Kita ni kan Melayu."

Terdiam seketika saya. Ada juga beberapa pelajar yang tidak gemar berkawan dengan saya atas sebab selesa dan suka bercakap dalam Bahasa Inggeris, dan tidak hanya berinteraksi dalam Bahasa Melayu. Ada hari, saya pulang ke rumah, merasa sedih. Mana tidaknya, umur 7, 8 tahun, disisihkan kerana penggunaan bahasa. Tetapi, sokongan ibu dan bapa saya untuk saya terus menggunakan Bahasa Inggeris, dan tidak hanya bergantung kepada Bahasa Melayu, sangat kuat. Jadi, saya mula mengajar diri saya untuk tidak pedulikan kata-kata pelajar lain di sekolah. 

Pada umur 11 tahun, saya dan beberapa rakan yang fasih berbahasa Inggeris dipilih untuk bercakap dalam satu rancangan RTM1 sempena Hari Kemerdekaan. Tajuk yang diberi kepada kami: I am proud to be a Malaysian. Seronoknya saya, dapat keluar TV! Pada tahun yang sama, saya dipilih untuk mewakili sekolah saya dalam pertandingan bercerita dalam Bahasa Inggeris. Dengan sokongan daripada guru Bahasa Inggeris dan ibu bapa saya, saya berjaya mara hingga ke peringkat daerah. Pengalaman ini telah banyak meningkatkan keyakinan diri saya untuk bercakap di hadapan khalayak ramai. Saya mula menjadi seorang yang berani; berani meminta bantuan, berani membuat presentasi, berani berjumpa dengan orang tak kira warga Malaysia ataupun warga asing dan saya menjadi yakin dalam penampilan diri saya.

Alhamdulillah.

Cabaran saya di mana saya disisihkan dan dicemuh kerana menggunakan Bahasa Inggeris berterusan sehingga saya diterima bekerja pada umur 22 tahun. Iya, di kolej dan universiti juga, saya banyak dicemuh. Tetapi, Alhamdulillah, oleh kerana sokongan ibu bapa daripada rumah lagi, saya tidak pernah berhenti memperbaiki diri saya dalam menguasai kedua-dua Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Oleh kerana sokongan daripada ibu bapa, saya berjaya mendapat pekerjaan pertama saya pada temuduga pertama saya, yang dijalankan dalam Bahasa Inggeris. Alhamdulillah, tak sempat menganggur. Selesai sahaja pengajian di universiti, Alhamdulillah, saya berjaya meringankan beban kewangan ibu bapa saya. 

Kepada para ibu bapa yang inginkan anak anda fasih berbahasa Inggeris, tidak perlu tunggu untuk pihak sekolah menerapkan penguasaan bahasa itu. Jika mereka pulang ke rumah mengadu dicemuh rakan-rakan mereka, beri kata-kata semangat dan sokongan kepada mereka. Mulakan dari rumah. Sokongan dan bantuan ibu bapa bukan sahaja efektif, tetapi diingati dan dipegang oleh anak-anak, dan dibawa ke mana sahaja mereka pergi. InsyaAllah, sehingga berjaya.

It starts at home. Ianya bermula di rumah.

Nantikan lagi perkongsian saya dalam blog seterusnya.

Terima kasih
Iman daripada Pasukan JustSpeak

3 comments:

  1. Good sharing..thank you..I've practiced it with my kid since she's 1-month old..inshaAllah wil continue that..just speak!!right? ;) ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. Yes, just speak. In time, your kid will understand the usage, and be proficient, InsyaAllah

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete